CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, May 4, 2009

Stem Sel, Revolusi Dunia Perubatan

*PETIKAN ARTIKEL DARI SURATKHABAR TEMPATAN, OLEH NAJIBAH HASSAN

HARI ini, saintis masih buntu dengan misteri sesetengah penyakit. Ada penyakit yang belum banyak diketahui berhubung `siapa' mangsanya, sukar dicegah, dan tidak ada penawarnya. Ini termasuklah penyakit kanser, penyakit-penyakit darah, kekurangan sistem pertahanan badan mahupun penyakit keturunan metabolik - hingga kini belum ada ubat-ubatan yang mampu merobah kehidupan pesakit-pesakit ini. Begitu juga dengan pendermaan organ dan pelbagai jenis tisu, kesemua ini digunakan sebagai alternatif menggantikan organ atau tisu yang musnah atau diserang penyakit. 

Malangnya, mereka yang memerlukan pemindahan organ ini jauh lebih ramai daripada organ yang ada. Namun, sains biologi perubatan telah membuka fasa terbaru dunia perubatan khususnya untuk merawat penyakit-penyakit serius. Saintis telah menemui sesuatu yang dipercayai mampu merevolusikan dunia perubatan. Kuasa untuk memperbaiki tisu-tisu yang musnah atau rosak akibat penyakit atau kecederaan boleh diperoleh daripada sel stem. Sel stem, atau lebih dikenali sebagai `sel induk' ini berkeupayaan untuk membentuk kesemua sel tubuh manusia. ``Pada dasarnya, sel stem ialah sel-sel belum matang yang mampu menjadi sebarang jenis yang boleh membentuk sel kulit, tulang, organ-organ atau lain-lain bahagian tubuh. ``Ini menyebabkan penggunaan sel stem mempunyai potensi bukan saja dalam penyelidikan perubatan malah rawatan sesetengah penyakit,'' demikian menurut pakar perunding penyakit dalaman dan perubatan makmal, salah sebuah institusi perubatan swasta, Prof. Dr. Aw Tar Choon. 

Dengan keupayaannya yang luar biasa ini, sel stem dianggap sebagai sel yang paling berkuasa dalam badan. Menurut beliau, sel stem juga disifatkan sebagai sel yang bijak. ``Secara automatiknya, sel-sel ini tahu ke mana harus ia pergi dan apa yang harus dilakukannya. Ia seolah-olah `diprogramkan' untuk menghasilkan sel-sel baru,'' jelas beliau. Fasa terbaru yang ditemui dalam perubatan ini, kata Aw, memberi harapan baru kepada penduduk di Asia yang terjejas teruk dengan penyakit talasemia dan lebih 40 jenis penyakit lain. Sebelum ini, penyakit talasemia major, di mana pesakit terpaksa menjalani rawatan pemindahan darah dan ubat-ubatan, penggunaan sel stem dapat menangani masalah ini.

Terbaru, kajian menunjukkan bahawa sel stem berpotensi dalam merawat penyakit lemah jantung. Sel stem yang terdapat dalam sumsum tulang, darah periferal, dikenali sebagai sel stem hematopoitik. Sebagai `blok asas' darah dan sistem pertahanan tubuh, sel ini sedia untuk menghasilkan semula: a. sel-sel darah merah - membawa oksigen b. sel-sel darah putih - melawan jangkitan c. platelet - membantu darah untuk beku dan memperbaiki tisu akibat kecederaan. 

Apa itu Sel stem? 

SEL stem diertikan sebagai sel-sel yang berkeupayaan memperbaharui dirinya sendiri dan pembezaan dirinya dengan pelbagai jenis sel. Pembaharuan ini bermakna, ia boleh terus membahagi tanpa had. Manakala, pembezaan ini bererti sama ada ia boleh menjadi setiap jenis sel dalam tubuh dan boleh menjadi pelbagai jenis sel tubuh. Sel stem ini secara automatik akan membentuk mata, jantung, otak, buah pinggang, tulang dan sebagainya. Sains sel stem buat julung kalinya ditemui pada 1969 iaitu merawat pesakit leukemia menggunakan sumsum tulang. Sel stem yang diperoleh dari sumsum tulang dikenali sebagai sel stem dewasa. Keunikan sel stem Sel stem berbeza dengan lain-lain pada tubuh manusia. 

Secara umum, sel stem mempunyai tiga kualiti iaitu: 
* Berkeupayaan untuk membahagi dan memperbaharui diri mereka dalam tempoh jangka panjang 
* Tidak khusus
* Dapat menumbuhkan jenis-jenis sel yang khusus. Sumber sel stem Hari ini, sel stem diekstrak dari tiga komponen ini iaitu:

* Sumsum tulang- Ia memerlukan beberapa kriteria: a. Pemindahan sumsum tulang memerlukan kesesuaian antara penderma dan penerima. Jika tidak, kemungkinan pesakit akan menghadapi masalah penolakan. Penolakan `bahan yang diderma' (GRHD) yang serius ini boleh mengakibatkan pesakit meninggal dunia. Penggunaan kaedah ini memerlukan: a. Adik-beradik adalah penderma yang terbaik kerana terdapat kesesuaian. b. Jika tiada adik-beradik, pesakit boleh mendapatkan sumsum tulang daripada unit pendaftar sumsum tulang dari luar negara. Tetapi kos yang diperlukan mencecah hingga antara RM50,000 hingga RM200,000. Penggunaan kaedah ini telah mencecah lebih 40 tahun.

* Tubuh manusia- Dianggarkan terdapat 0.5 peratus sel stem boleh diperoleh daripada mana-mana tubuh manusia. Bagaimanapun, oleh kerana jumlahnya yang terlalu sedikit ini, pesakit akan diberi beberapa kali suntikan untuk merangsang sumsum tulang. Ia bertujuan merangsang lebih banyak sel stem baru dihasilkan. Sel stem yang terhasil ini akan dikeluarkan melalui mesin khas. Ia akan diasingkan secara automatik. Namun, kaedah ini hanya praktikal untuk pesakit kanser. Sekiranya, sel stem yang diperlukan masih tidak mencukupi, pesakit terpaksa melalui fasa pusingan merangsang sumsum tulang. Kaedah ini juga menelan kos yang terlalu tinggi

* Tali pusat- Sel stem dari tali pusat diambil daripada tali pusat sejurus selepas bayi tersebut dilahirkan. Dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, sains biologi perubatan menemui satu kaedah teraputik bahawa tali pusat bayi yang dilahirkan kaya dengan sel stem. Menurut kajian, sel-sel ini bukan saja dapat membantu menyembuhkan seseorang daripada penyakit, malah menyelamatkan nyawa. Penyelidikan sel stem yang diperoleh dari tali pusat bermula sejak 15 tahun lalu. Ia digunakan buat julung kalinya untuk pemindahan, di Perancis pada 1988 ke atas seorang pesakit Anemia Fanconi. Tiga tahun selepas itu, ia digunakan untuk pemindahan pesakit leukemia mielogenus kronik. Misteri yang berjaya dibongkar dunia perubatan berhubung kelebihan sel stem yang diperoleh daripada tali pusat ialah:

a. Ia lebih muda dan segar daripada sel stem orang dewasa. 
b. Sel baru yang terhasil ini kemungkinan mengandungi kurang penyakit seperti Cytomegalo virus (CMV) dan Epstein-Barr virus (EBV). 
c. Kemungkinan berlaku penolakan kepada si penerima juga jauh lebih rendah.
d. Boleh disimpan dalam bank tali pusat dalam jangka masa yang lama. Ia juga boleh digunakan apabila diperlukan. 

Jenis penyakit yang boleh dirawat dengan sel stem 
A. Jenis-jenis kanser - Kanser ovari, buah pinggang, leukemia, buah zakar, ketumbuhan otak, paru-paru, neuroblastoma, penyakit Hodgkin dan sebagainya

B. Penyakit-penyakit darah - Talasemia, anemia aplastik, anemia Franconi, sel sickle anemia dan lain-lain 

C. Penyakit kekurangan sistem pertahanan tubuh - Sindrom wiskott-aldrich, penyakit granulomatus kronik dan sebagainya

D. Penyakit metabolik yang diwarisi - Sindrom hunter, sindrom bare-limfosit, adrenoleukodistrofi, konginetal diskeratosis dan lain-lain.  

0 comments: